Dua Beranak Direman Kerana Seleweng Duit Misdec

 Dua beranak direman kerana seleweng duit Misdec

BANDARAYA MELAKA - Seorang bekas Pengurus Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (Misdec) dan seorang pegawai kanan syarikat itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan duit agensi itu berjumlah RM4 juta.

Perintah reman sehingga 18 Julai ini, ke atas suspek yang juga anak-beranak berusia 76 tahun dan 43 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd. Anuar Ostadi.

Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas dua suspek tersebut di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang memakai lokap SPRM tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 11.10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Kedua-dua suspek telah ditahan SPRM kira-kira jam 1 petang di bangunan MISDEC, Batu Berendam di sini semalam.

Penahanan itu dibuat selepas suspek yang masing-masing memegang jawatan sebagai bekas Pengurus Eksekutif dan Pengurus Unit Pentadbiran dan Kewangan MISDEC disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan serta memindahkan kira-kira RM4 juta wang MISDEC ke akaun syarikat mereka dalam tempoh 2014 sehingga 2015.

SPRM turut menyita wang hampir RM600,000 dalam akaun sebuah syarikat terbabit dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com