Ditahan Kerana Kenyataan Jelik Di Insta Tunku Aminah


JOHOR BAHRU - Polis Johor menerima satu laporan mengenai kenyataan jelik dimuatnaik dalam aplikasi Instagram terhadap Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan institusi Diraja Johor, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, laporan polis itu diterima sekitar jam 6 petang dan satu kertas siasatan telah dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut serta mengesan individu terbabit.

Menurutnya, kemudiannya suspek berjaya ditahan iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun di Ampangan, kerana dipercayai individu yang bertanggungjawab memuatnaik kenyataan jelik tersebut.

"Kes dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, polis tidak akan berkompromi sama sekali kepada mana-mana individu atau pengguna media sosial yang membuat sebarang komen atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyakitkan hati, menjelikkan, mengugut atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

"Pengguna media sosial perlulah lebih berhemah dan bertoleransi semasa menggunakan kemudahan media sosial.

"Polis Johor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial dan mereka ini, akan diburu dan seterusnya akan didakwa mengikut undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com