Dicekup Kerana 100 Saman Tertunggak

 

JURUJUAL lelaki ditahan polis selepas didapati tidak menjelaskan 100 saman tertunggak sejak 10 tahun lalu dalam operasi khas trafik di Jalan Patani, Georgetown, semalam.

Operasi pada 10 pagi hingga 1 tengah hari itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) yang dketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPDTL, Deputi Superintendan Noh Idris.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam pemeriksaan itu lelaki 30-an berkenaan didapati tidak menjelaskan saman meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan dan pelbagai kesalahan lain.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati 97 saman tertunggak di daerah Timur Laut manakala baki yang lain di beberapa kawasan lain dan semua saman masih belum dijelaskan sehingga ke hari ini selepas semakan dibuat.

"Pihak polis terpaksa mencetak semula saman lelaki berkenaan untuk dijelaskan," katanya ketika ditemui.

Anuar berkata, dalam operasi itu dua lokasi pemeriksaan dilakukan membabitkan di Jalan Jelutong dan Jalan Patani.

Beliau berkata, secara keseluruhan 220 saman dikeluarkan dalam tempoh tiga jam.

Beliau berkata, ia termasuk tujuh saman tidak berhenti pada lampu isyarat, tujuh saman dikeluarkan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan 10 saman tidak memakai tali pinggang keledar.

"196 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 14 notis waran tangkap," katanya.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com