Buru Suspek Samun Stesen Minyak Di Kota Belut


POLIS melancarkan Op Tutup bagi mengesan sekumpulan penjenayah disyaki terbabit kes samun bersenjata di stesen minyak di Kadamaian, Kampung Taginambur, Kota Belud kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari itu dipercayai empat individu melarikan diri selepas dua daripadanya menyamun pekerja wanita berusia 48 tahun.

"Menurut maklumat awal, dua suspek mengacu pisau di bahagian leher mangsa manakala seorang daripadanya menjaga pintu kaunter dan seorang lagi di dalam Perodua Alza.

"Suspek menyamun beg sandang milik mangsa yang berisi wang sebanyak RM4,000 dan beberapa kad tambah nilai prabayar telefon yang belum digunakan sebelum melarikan diri dengan kenderaan terbabit," katanya ketika dihubungi, semalam.

Berikutan kejadian itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya melancarkan Op Tutup dengan menutup semua laluan keluar daerah ini untuk memburu semua suspek.

"Sepasukan polis yang melakukan rondaan di Kampung Sembirai berjaya mengesan kenderaan yang dinaiki suspek bagaimanapun mereka sempat meloloskan diri ke Kampung Labuan.

"Gerakan memburu empat suspek itu diteruskan sehingga polis menemui Perodua Alza yang ditinggalkan di Kampung Kesapang dan suspek dipercayai menukar kepada Perodua Kenari yang kemudian juga ditinggalkan berhampiran sekolah di daerah itu.

"Hasil maklumat daripada pengawal keselamatan, suspek meninggalkan kenderaan itu di kawasan terbabit dan melarikan diri pula menggunakan motosikal," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berharap orang ramai yang terserempak dengan suspek menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di talian 088-976600 untuk tindakan lanjut.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com