‘Buntat Nama Saya, Bukan Gelaran’


JEMPOL - 'Biarlah ganjil. Nanti senang nak panggil. Apa salah pula nama Buntat," Itu kata-kata pernah diucapkan Allahyarham Hamzah Umar, suami kepada Maznah Ibrahim, 79, satu ketika dahulu ketika dia masih hidup.

Ia berikutan keputusan meletakkan nama anaknya dengan nama Buntat, sedangkan banyak lagi nama lain boleh dipilih.

Menurut Maznah, hanya anak sulungnya itu dinamakan Buntat Hamzah yang kini sudah berumur 59 tahun, manakala enam beradik lain dengan dengan nama biasa sahaja.

“Dah suami cakap begitu, makcik ikut sahajalah. Lagi pun benarlah kata dia, senang nak panggil selain unik. Orang dulu-dulu tak adalah kisah sangat dengan nama ni. Janji mudah dipanggil. Makcik yang bagi nama," kata Maznah.

Menurutnya, ada antara orang ramai menyangka Buntat adalah gelaran sahaja, bukan nama penuh.

Katanya, nama Buntat diberi kerana istimewa, kerana dia anak sulung lelaki.

"Tapi Buntat pun okey sahaja. Dialah banyak menolong makcik kat rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serting Ilir, Bahau, di sini.

Sementara itu, Maznah berkata, dia tidak menyangka pula nama anaknya itu menjadi glamor ketika drama 7 Hari Mencintaiku ditayangkan di televisyen berikutan terdapat seorang watak kanak-kanak juga bernama Buntat.

“Makcik tengok drama tu senyum sendiri. Iyalah, tak sangka ada juga orang letak nama Buntat dalam drama.

“Sepanjang drama itu ditayangkan, ada juga mengusik Buntat. Tapi itu perkara biasa, sekadar gurauan. Mak cik okay sahaja,” katanya.

Sementara itu, Buntat berkata, tidak banyak kenangan manis sewaktu zaman kanak-kanak walaupun  namanya unik.

“Saya tak berpeluang bersekolah sebab masa tu mak ayah orang susah. Saya berkorban untuk adik adik . Tapi itu bukanlah masalah kerana saya tetap dapat jaga mak sehingga sekarang.

“Rutin harian saya pula ketika ini menguruskan kebun orang dan beberapa kerja kampung lain. Janji halal,” katanya.

Seorang penduduk kampung yang juga Pengurus Mini RTC Serting Ilir,  Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, kampung berkenaan  menjadi meriah seketika disebabkan nama Buntat.

“Ada yang kata nama Buntat bukan nama baru tapi direka, kerana orang dulu- dulu pun lagi advance bagi nama anak.

“Saya pun pada mulanya tak percaya sehinggalah pakcik Buntat datang ke Mini RTC untuk kemas kini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Dia tunjukkan kad pengenalan, barulah saya percaya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com