Buang Sampah Secara Merata Di Ipoh Mungkin Didenda RM1,000


IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang mengkaji untuk meningkatkan kadar kompaun sehingga RM1,000 terhadap kesalahan membuang sampah merata-rata dan secara haram di sekitar kawasan bandaraya. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan selain akan tertakluk dibawah Akta Pelupusan Sisa Pepejal. 

Katanya peningkatan kadar kompaun itu berkemungkinan dibuat bagi mendidik orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek kebersihan. 

"Ketika ini denda yang dikenakan sekitar RM250 hingga RM500 tetapi nilainya mungkin akan dinaikkan jika kita lihat ia terus dilakukan mana-mana individu tidak bertanggungjawab. 

"Tujuan kita adalah untuk mendidik dan memastikan orang ramai berfikir panjang sebelum melakukan tindakan yang membolehkan mereka disabitkan atas kesalahan tersebut," katanya kepada pemberita  selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) peringkat MBI 2017.

Zamri berkata pihaknya juga sedang dalam proses membaikpulih beberapa lokasi tandas awam sekitar Ipoh yang didapati berada dalam keadaan kurang memuaskan. 

Katanya proses baik pulih itu akan dijalankan dalam masa terdekat dan ia telah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Tujuan-Tujuan Am sebelum ini. 

Beliau berharap semua pihak khususnya sektor swasta dan orang ramai supaya bersama-sama membantu MBI dalam memastikan Ipoh menjadi antara bandaraya bersih dan selamat untuk diduduki.  - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com