Bertandang Ke Kelantan, Barisan Pemain Kedah Kembali Kukuh


ALOR SETAR - Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof kini sudah mampu menarik nafas lega setelah beberapa pemain yang mengalami kecederaan semakin pulih dan bersedia untuk diturunkan.

Terdahulu, beberapa pemain utama mengalami kecederaan dan perkara tersebut merunsingkan Nidzam kerana masalah kekurangan pemain.

Barisan pemain yang mengalami kecederaan seperti Akram Mahinan, Fitri Omar, Zachary Anderson, Abd Hadi Hamid dan Farhan Roslan kini sudah mampu untuk terus beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

“Saya lega untuk bertandang ke Kelantan dalam meneruskan perjuangan kerana lima pemain yang hadir ini mampu memantapkan kembali prestasi pasukan dan terus mencerahkan harapan mengutip mata penuh.

"Dalam perlawanan sebelum ini kita hilang ramai pemain utama, tetapi saya bersyukur kerana pemain muda yang ada dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Cuma ada beberapa kelemahan yang perlu kita baiki semasa menentang Kelantan. Lawan merupakan sebuah pasukan yang hebat dan kita perlu fokus dan terus berusaha," katanya.

Selain itu, kematangan dan ketahanan fizikal yang ditunjukan pemain muda daripada skuad Piala Presiden ketika membantu Kedah sebelum ini merupakan perkembangan positif untuk masa depan skuad berkenaan.

"Mereka bermain dengan baik apabila diberi peluang, ini membuktikan kita mempunyai pelapis yang baik untuk diserapkan ke skuad utama selepas ini.

"Apa yang penting mereka perlu diberi peluang untuk lebih matang sekaligus meneruskan legasi dan kecemerlangan pasukan pada masa akan datang," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com