Awie Kecewa Dirinya Dipolitikkan


KUALA LUMPUR  - Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie, melahirkan rasa kecewa kerana dirinya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan politik.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, perkara itu terjadi selepas dia terlibat program Kelantan International Bike Week 2017 yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang diadakan pada 7 dan 8 Julai lalu.

“Sebenarnya kita ke sana bukan untuk berseronok sahaja tetapi juga untuk beramal. Selain Wings Motor Group Society, ada ramai lagi kumpulan motor yang lain turut serta.

“Sebelum acara kemuncak pada malam itu di perkarangan stadium, kami pergi ke Maahad Tahfiz dahulu untuk menyerahkan wang sumbangan yang saya tak pasti mencecah belas atau puluh ribu ringgit hasil kutipan setiap ahli kumpulan motor yang ada,” katanya kepada Utusan Online.

Namun menurut Awie, perkara itu tidak dilihat sebaliknya isu akhlak yang dipermainkan sewaktu perjumpaan di stadium pada malam itu.

“Kebanyakan yang datang turut membawa isteri, jadi apa salahnya mereka duduk dengan pasangan masing-masing.

“Bagi saya ini isu yang sengaja diwujudkan dengan menggunakan nama saya bagi menaikkan pengaruh politik masing-masing,” jelasnya.

Selama ini menurut Awie, dia sudah mengembara ke banyak pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim di negeri-negeri lain tetapi tidak pernah menjadi isu.

Dalam pada itu, Awie turut dalam perancangan untuk mengadakan sebuah kembara motosikal ke seluruh Kelantan yang dipanggil Serban Ride.

Kembara motorsikal itu akan menjelajah ke pusat tahfiz, rumah anak-anak yatim dan ke masjid bermula Subuh hingga Isyak.

“Perkara ini masih lagi dalam perancangan tetapi saya teringin nak buat di Kelantan sebab negeri itu terkenal dengan gelaran Serambi Mekah.

“Kalau cadangan saya tidak diterima, saya tak kecewa tetapi mungkin buat di tempat lain. Tengoklah bagaimana penerimaannya nanti,” jelasnya. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com