"Anwar Mangsa Politik": PAS Tempelak Mahathir


ALOR SETAR - PAS menempelak Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai salah seorang "mangsa politik".

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sejak di zaman pemerintahan Mahathir lagi sudah menyatakan bahawa Anwar menjadi "mangsa politik" di mana beliau dipecatkan daripada seluruh jawatan dalam kerajaan dan parti, malah ditumbuk sehingga lebam matanya.

"Bagi saya kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Anwar menjadi mangsa politik sebenarnya PAS sudah lama memperkatakan mengenainya.

"Dan akhir-akhirnya selepas tiada tokoh lain maka Pakatan Harapan cuba hendak menaikkan semula Anwar. Sebenarnya kemelut itu berlaku pada Pakatan Harapan," katanya memetik laporan lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Akhir Jawatankuasa Induk Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Julai ini di Kota Bharu, semalam.

Selain itu, Tuan Ibrahim juga menjelaskan bahawa PAS menganggap Anwar yang telah dikaitkan dengan isu moral itu juga merupakan mangsa kepada konspirasi kerajaan zaman pemerintahan Mahathir sebelum ini.

Mahathir sebelum ini membuat "pusingan U" menerusi satu wawancara apabila memberitahu media United Kingdom, The Guardian, yang Anwar adalah mangsa dendam politik dan diperlakukan secara tidak adil.

Presiden PPBM itu juga dalam kenyataannya  menyokong  Anwar menjadi Perdana Menteri jika dibebaskan.

Namun begitu, difahamkan Mahathir langsung tidak menyentuh mengenai kenyataannya sebelum ini yang menuduh Anwar terlibat dalam aktiviti tidak bermoral melibatkan perlakuan salah laku seks luar tabii selepas memecat bekas Timbalannya itu.

Anwar ketika 1998 telah diaibkan dengan tuduhan jenayah liwat, dipecat dari semua jawatan di dalam kerajaan mahupun parti dan dikatakan telah dikepung di kediamannya oleh pasukan lengkap bersenjata sebelum ditahan.

Insiden pemecatan dan perbicaraan Anwar tersebut telah mendapat liputan meluas dari media, termasuk media antarabangsa yang turut melaporkan kecaman terhadap pentadbiran Mahathir yang disifatkan sebagai zalim dan "kuku besi".

Walau bagaimanapun, Mahathir yang ketika itu berjawatan Perdana Menteri tidak menghiraukan kecaman tersebut, sebaliknya mengutuk media dan negara kuasa besar yang menyokong Anwar sebagai salah satu cubaan campur tangan asing terhadap negara. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com