Adilfitri Di Penjara Pokok Sena, Sabri Dakap Isteri, Anak Sepuasnya...


ALOR SETAR - Adilfitri kali ini lebih bermakna buat Sabri, 56 kerana berpeluang mendakap isteri dan anak tunggalnya sepuasnya untuk melepaskan rindu kepada mereka.

Sabri sedar, anak dan isterinya masih sayangkannya walaupun dia sedang menghuni di penjara.

"Rasa rindu kepada mereka ini memang tak dapat digambarkan terutama hari raya. Walaupun sudah 15 tahun berada dalam penjara, rasa hiba dan sayu setiap kali mendengar takbir raya dan tak sabar  menunggu kunjungan anak dan isteri.

"Tambah-tambah lagi apabila mengenangkan saya tidak dapat bersama mereka ketika berpuasa dan menyambut hari raya," katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Kasih Sempena Hari Ibu Bapa dan Aidilfitri di Penjara Pokok Sena kelmarin.

Sabri yang berasal dari Kuala Kangsar berkata, hari raya adalah hari yang sangat dinantikannya kerana hanya pada waktu itu sahaja dia dapat bersama isteri dan anak walaupun sekejap.

Sabri dihukum penjara 20 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat.

Sementara itu, Ramli, 41, dari Sitiawan pula menyifatkan dirinya sebagai 'mati hidup semula' pada hari lebaran yang mulai ini kerana beliau masih boleh menyambut Aidilfitri selepas mendapat pengampunan Sultan Perak bagi meringankan hukumannya.

"Saya telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Bagaimanapun pada 2015 lalu, saya mendapat pengampunan daripada Sultan Perak dan hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 20 tahun. 

 Bekas penjawat awam itu menceritakan dia terjerumus dalam penyalahgunaan dadah selepas terpengaruh dengan kawan-kawan akhirnya membawa dia ke tirai besi di situ sejak 2007.

Dadah yang digunakan itu bukan saja menghumbannya ke dalam penjara tetapi turut memusnahkan masa depannya sebagai penjawat awam, katanya insaf.

"Saya sangat bersyukur dan pengampunan itu seumpama saya mendapat nyawa kedua. Saya nekad untuk tidak melakukannya lagi. Walaupun saya rasa tertekan dengan kehidupan dalam penjara.

"Sokongan daripada keluarga membuatkan saya bersemangat meneruskan kehidupan yang lebih bermakna ini," katanya yang pertama kali menyertai sambutan hari raya anjuran pihak penjara ini.

Sambutan Aidilfitri ini juga amat bermakna bagi 15 banduan lain di penjaran itu kerana kehadiran anggota keluarga masing-masing  

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara, Rosli Abd Razak berkata majlis itu dianjurkan bagi merapatkan hubungan penghunipenjara dengan keluarga mereka.

Katanya peranan keluarga turut memainkan peranan utama dalam memulihkan kehidupan mereka selepas melakukan kesalahan pada masa lalu malah kedatangan keluarga pada program berkenaan secara tidak langsung menunjukkan banduan di sini masih diterima oleh keluarga mereka.

"Jabatan Penjara juga mahu mengikis tanggapan masyarakat selama ini bahawa banduan yang masuk penjara hanya dikurung begitu sahaja tanpa mengetahui Jabatan Penjara juga berperanan mendidik mereka pulang ke pangkal jalan dengan memberi ilmu pengetahuan berasaskan agama," katanya.

Pertemuan banduan dengan keluarga mereka berakhir dengan linangan air mata dan jika diizinkan mereka akan bersama lagi menyambut Aidifitri tahun depan dipenjara. -Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com