61, 879 Pesakit Mental Terima Rawatan Ulangan Di Perak


IPOH - Seramai 61,879 pesakit mental mendapatkan rawatan secara ulangan di semua hospital di Perak sepanjang 2016 berbanding 56,981 orang pada tahun sebelumnya.

Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, antara faktor yang menyumbang ke arah peningkatan bilangan pesakit itu adalah tekanan, krisis kewangan, masalah rumah tangga dan persekitaran.

"Status kesihatan mental seseorang pesakit juga bertambah parah jika tidak mendapat sokongan daripada masyarakat dan kurang kemahiran daya tindak," katanya ketika merasmikan Karnival Psikososial Rehabilitasi Peringkat Negeri Perak 2017 yang disertai tujuh Pusat Pemulihan Psikososial (PSR) di Dewan Kolej Sains Kesihatan Bersatu (KSKB) Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Peka dengan peningkatan bilangan pesakit mental itu, katanya kerajaan menyediakan pelbagai pendekatan seperti kempen promosi kesihatan mental, saringan serta intervensi di peringkat kesihatan premier.

"Kita turut adakan pelbagai program yang memperkasa masyarakat untuk menangani tekanan selain melaksanakan bantuan asas psikologi semasa krisis," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hang Soon berkata, terdapat enam PSR dan satu Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (CMHC) di Perak yang menyediakan perkhidmatan saringan dan intervensi bagi merawat pesakit mental.

Lokasi PSR ialan di daerah Kinta, Hilir Perak, Bagan Datuk, Batang Padang, Kuala Kangsar manakala CMHC pula beroperasi di Selama.

Kesemua PSR dikendalikan oleh pegawai perubatan, jurupulih perubatan cara kerja dan jururawat terlatih, katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com