3 Mata Berharga, Kedah Tak Benar JDT Selesa Di Takhta Liga


ALOR SETAR - Pasukan kebanggaan rakyat Kedah, Lang Merah meneruskan rentak kemenangan apabila selesa membenam skuad Melaka dalam aksi Piala Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

Membolosi gawang gol Melaka dengan 4 jaringan berbalas 2, Kedah melonjakkan diri ke tangga ke-2 liga di belakang Johor Darul Takzim (JDT) dengan perbezaan 9 mata selepas pasukan Harimau Selatan itu membaham Tok Gajah, 2-0.

Dikejutkan dengan jaringan awal penyerang import Melaka, Marco Simic pada minit ke-10 perlawanan yang menggamatkan kira-kira 12,000 penyokong tuan rumah yang hadir di stadium, semalam.

Namun begitu, gol tersebut tidak mampu bertahan lama apabila tonggak skuad Lang Merah, Baddrol Bakhtiar hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan.

Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Simic sekali lagi meletakkan Melaka di depan pada minit ke-30.

Namun kecekalan skuad Hijau Kuning itu menyaksikan sekali lagi Baddrol tampil bergaya menjaringkan gol penyamaan, kira-kira lima minit sebelum babak separuh masa pertama tamat.

Benteng pertahanan Melaka bagaimanapun goyah bermula aksi separuh masa kedua dan kesempatan itu tidak dipersia-siakan oleh Akram Mahinan dengan menguis masuk gol ketiga Kedah selepas menewaskan penjaga gol dan pemain pertahanan tuan rumah pada minit ke-55.

Bagaikan tidak puas membolos jaring tuan rumah, Asri Mardzuki yang masuk ke padang sebagai pemain gantian menambah derita MU apabila memastikan kemenangan bergaya Lang Merah dengan jaringan keempat pada minit ke-90.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Eduardo Almeida tewas buat kali ketiga kepada Kedah pada musim ini, selepas tewas dalam aksi pusingan pertama dan saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia, minggu lalu.

Kemenangan manis yang mengutip tiga mata penuh itu sekaligus melonjakkan Kedah ditangga kedua, sementara JDT masih mendahului takhta liga dengan 36 mata.

Biarpun tampak sukar untuk merampas takhta Liga Super dari tangan JDT pada musim ini, namun peluang tersebut tidak mustahil untuk menjadi kenyataan sekiranya Kedah terus konsisten mencatat kemenangan dalam semua 7 baki perlawanan dan mengharapkan pasukan Harimau Selatan itu keciciran mata. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com