22 PATI Didakwa Di Mahkamah Teluk Intan

 

DUA PULUH DUA pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, hari ini susulan Ops Mega E-Kad yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) 1 Julai lalu.

Kesemua 19 warganegara Myanmar, dua Nepal dan seorang warga Indonesia itu didakwa membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c), Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JIM Perak, Shamil Wati Ibrahim di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Semua PATI berusia 18 hingga 45 tahun berkenaan ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 1 Julai lalu di beberapa lokasi sekitar Perak susulan tamatnya tempoh pendaftaran program kad sementara Enforcement Card (E-Kad).

Shamil Wati meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi 21 PATI membabitkan warga Myanmar dan Nepal untuk mendapatkan khidmat jurubahasa kedua-dua negara berkenaan.

Norita kemudian menetapkan 25 Julai ini bagi sebutan semula kes membabitkan 21 warga asing berkenaan.

Sementara itu, tertuduh warga Indonesia, Krismanto, 24, pula didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana pas lawatan (kerja senentara) tamat tempoh pada 15 Mei lalu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengaku bersalah dan minta dikenakan hukuman ringan kerana dia mempunyai pas namun sudah tamat tempoh serta perlu menyara isteri dan anak.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman sebulan penjara dari tarikh tangkapan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com