19 Kes Terbaru Rabies Di Serian - Sekretariat


KUCHING - Sembilan belas kes terbaru gigitan anjing dan kucing dilaporkan berlaku semalam menjadikan sebanyak 26 kes gigitan dikesan dari 2  hingga 16 Julai ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata ini menjadikan kes kumulatif gigitan anjing sejak 1 April hingga ke hari ini adalah sebanyak 332.

Selain itu, seramai 235 orang telah datang untuk mendapatkan vaksin bagi haiwan peliharaan mereka, kata sekretariat itu dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut sekretariat itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah memvaksinkan 5,850 ekor haiwan peliharaan terdiri daripada 1,626 ekor anjing, 2,810 kucing dan 23 haiwan lain sehingga semalam.

Kelmarin, sebanyak 516 ekor anjing dan 1,019 ekor kucing daripada 263 pemilik haiwan diberi vaksin di sekitar bandar Serian dan proses itu diteruskan lagi mulai 10 pagi hingga 4 petang di lokasi sama semalam.

JPVS juga mengadakan 68 kempen kesedaran mengenai wabak rabies di kawasan terlibat yang dihadiri 4,862 penduduk kampung dan pelajar sekolah.

“JPVS akan meneruskan aktiviti penyiasatan kes-kes yang dilapor berkaitan wabak Rabies di sekitar bahagian Serian,” kata sekretariat itu.

Mereka yang digigit anjing dalam kawasan terbabit juga diminta tampil segera bagi menjalani pemeriksaan dan vaksin di klinik dan hospital terdekat.

Pada masa ini, vaksin hanya diberikan kepada kes gigitan anjing dan kucing yang berlaku di kawasan wabak yang memenuhi kriteria klinikal.

Sehingga kini wabak rabies di Bahagian Serian telah mengorbankan tiga kanak-kanak. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com