15,000 Meriahkan Rumah Terbuka 'Jerlun Untuk Jerlun' Di Ayer Hitam


ALOR SETAR - Lebih 15,000 penduduk menghadiri Rumah Terbuka Aidilifitri Ahli Parlimen Jerlun dan UMNO Bahagian Jerlun di Pekan Sehari Ayer Hitam di sini semalam.

Kehadiran yang ramai itu membuktikan penduduk Jerlun sentiasa mengutamakan kesatuan dan kebersamaan walaupun berbilang-bilang kaum.

Antara tetamu yang hadir termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, pemimpin parti komponen serta pemimpin masyarakat selain pegawai dan kakitangan kerajaan.

Kesempatan pada rumah terbuka itu membuka ruang kepada penduduk DUN Ayer Hitam dan DUN Kota Seputeh untuk beramah mesra dengan pemimpin mereka.


"Saya amat berbangga apabila kita melihat hak kebersamaan 'Jerlun untuk Jerlun' dapat diterjemahkan pada majlis ini, " kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz yang juga ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua UMNO bahagian, Datuk Abu Hasan Sarif yang juga ADUN Kota Seputeh  turut menyambut tetamu yang berkunjung ke majlis rumah terbuka itu.  

Sementara itu, Othman mengingatkan rakyat khususnya pengundi di kawasan Jerlun supaya tidak merosakkan perpaduan yang dibina sejak sekian lama hanya disebabkan hanyut dalam keghairahan berpolitik, lebih-lebih lagi dengan adanya parti baharu.

Walaupun negara mengamalkan demokrasi dengan adanya kebebasan menyokong mana-mana parti, namun rakyat tidak harus leka dengan janji-janji manis parti pembangkang sehingga tersilap membuat keputusan, kata Othman ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

Bagaimanapun beliau yakin rakyat faham bahawa UMNO sentiasa berdampingan dengan mereka dan mendengar masalah yang dihadapi.


Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam kini diwakili oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menang atas tiket BN pada PRU13.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com