1.5 Juta Rakyat Malaysia Dalam Bahaya


KUALA LUMPUR - Lebih 1.5 juta atau 30 peratus penduduk Malaysia yang tidak merokok turut terdedah kepada pelbagai penyakit berpunca daripada asap rokok dilepaskan kira-kira lima juta perokok di negara ini.

Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Dr Molly Cheah berkata, golongan 1.5 juta berkenaan adalah mereka yang dikategorikan sebagai perokok kedua kerana terdedah kepada asap rokok basi dilepaskan perokok.

"Walaupun tidak merokok, kesan bahaya asap rokok yang disedut itu adalah sama seperti merokok dan inilah yang turut dibimbangi kesan asap rokok yang dibawa anggaran lima juta perokok seluruh negara.

"Sebab itu, MCTC yang bersama lebih 40 organisasi di bawahnya akan terus komited dalam usaha menjadikan Malaysia Bebas Asap Rokok pada 2045 melalui pelaksanaan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) oleh kerajaan sejak 2005,"katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kebangsaan Kawalan Tembakau 2017 "Perundangan dan Pengupayaan Komuniti" anjuran Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini kelmarin.

Seminar dihadiri kira-kira 150 rakan strategik daripada sektor kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan berasaskan komuniti (CBO) dan wakil persatuan penduduk itu dirasmikan Pegawai Tugas-tugas Khas DBKL Datuk Mahadi C Ngah.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Zainuddin Abd Wahab dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Seminar Kebangsaan Kawalan Tembakau 2017 Dr Mohd Hanif Zainal.

Mengulas lanjut Molly berkata, tembakau adalah faktor risiko utama menyebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan barah yang menjadi punca utama kematian di Malaysia.

"Sebagai sebuah pertubuhan masyarakat dianggotai wakil universiti, ahli profesional, persatuan pengguna serta badan sukan dan agama, kami sentiasa menggalakkan penyertaan meluas dalam pembangunan, pelaksanaan dasar dan undang-undang awam.

"Ini penting untuk mencapai status kawalan tembakau yang berkesan sejajar dengan keperluan ditetapkan FCTC," katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com