Zakat Kedah Jana Ekonomi Asnaf

  Related image

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membelanjakan kira-kira RM776,000 melalui bantuan Jayadiri untuk mengubah nasib asnaf miskin di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, peruntukan bantuan Jayadiri diberikan kepada 388 penerima pada tahun 2016 atas tanda keprihatinan membela nasib mereka.

“Alhamdulillah, jumlah agihan kepada asnaf miskin meningkat sebanyak 35 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pada 2015, sebanyak RM572,000 diagihkan kepada 244 penerima bantuan Jayadiri.

“Malah, sehingga akhir bulan Mei 2017, jumlah agihan bagi bantuan ini telah mencecah RM112,000 dan angka ini dijangka terus meningkat sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Katanya, asnaf yang ingin memohon perlu menepati syarat ditetapkan iaitu memiliki pengalaman dan tekad untuk mengusahakan aktiviti perniagaan.

“Zakat Kedah amat menitik berat aspek ini disebabkan ada pemohon sekadar cuba-cuba untuk berniaga dan akhirnya rebah sebelum perniagaan berkembang maju,” katanya.

Kata beliau, skim bantuan Jayadiri ini sudah lama berjalan dan ramai asnaf yang berjaya keluar dari belenggu kemiskinan dan ada menjadi pembayar zakat melalui skim itu.

Menurutnya, pihaknya menyalurkan bantuan Jayadiri dalam pelbagai bentuk antaranya modal pusingan, alatan mesin ataupun kursus-kursus bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang masing-masing.

Zakaria berkata, Zakat Kedah akan membantu mempromosikan asnaf Jayadiri dengan mengetengahkan perniagaan diusahakan melalui pelbagai medium dan kerjasama agensi.

Antaranya, pencalonan produk usahawan Jayadiri di Program Bulan Zakat Kebangsaan, penggambaran bersama Syarikat Widad Bussiness Group dalam rancangan Kembara CSR WIdad, rakaman video dimuat-naik di laman sosial Zakat Kedah dan saluran video Youtube.

Kata Zakaria, Zakat Kedah turut menawarkan Program Pembangunan Asnaf dengan mewujudkan dua Pusat Kemahiran Jahitan (PKJ) dalam usaha meningkatkan ekonomi pemohon.

Menurutnya, seramai 28 tukang jahit terdiri dari ibu tunggal dan asnaf miskin diambil bekerja di dua pusat terbabit dengan pendapatan sebulan mampu mencecah RM2,000.

“Mereka telah menjahit sebanyak 24,433 pasang pakaian sebelum mengagihkan secara percuma kepada lima sekolah rendah di daerah Kota Setar, Pendang, Padang Terap, Kubang Pasu  dan daerah Sungai Petani.

Antara lain, katanya, pihak mereka turut mengagihkan RM2.6 juta khusus untuk bantuan pakaian seragam sekolah, malah sebanyak RM2.1 juta telah diagihkan bagi bantuan yang sama sehingga akhir Mei 2017.

Tambah Zakaria, syarikat korporat dan usahawan digalakkan tampil menunaikan zakat mereka kepada LZNK agar program bantuan seperti ini dapat ditingkatkan lagi.

Sumber:  Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com