Zachary Anderson Kembali, Perkukuh Pertahanan Lang Merah

  

ALOR SETAR - Setelah hampir dua bulan berehat akibat kecederaan pinggulnya sebelum ini, pemain pertahanan import Kedah, Zachary Anderson bakal temui peminat bola sepak Kedah semula pada Julai ini.

Pemain berusia 26 tahun itu terpaksa diketepikan sebelum ini dan tidak tersenarai ketika perlawanan penting ketika Kedah menjuarai Piala FA bulan lalu kerana kecederaan tersebut.

Tempoh rehat Zachary bakal berakhir tidak lama lagi kerana tempoh rehat saingan Liga Malaysia berakhir bakal berakhir.

Menurutnya, dia telah menggunakan tempoh rehat tersebut dengan sebaik mungkin demi menyembuhkan kecederaan yang dialami supaya dia dapat beraksi semula pada Julai ini.

"Selepas berakhir perlawanan Piala FA saya ambil keputusan untuk  pulang ke Australia bagi mendapatkan rawatan pakar di Melbourne.

"Sepanjang tempoh berkenaan, saya telah mendapat rawatan sebaiknya sehingga tidak lagi berasa sakit pada tulang pinggul.

"Saya juga bersyukur kerana dapat kembali dan menjalani latihan bersama rakan-rakan untuk persediaan menghadapi Liga Super dan Piala Malaysia pada Julai ini," katanya

Jelasnya lagi, dia kini perlu mengembalikan stamina dan kembali cergas bagi membolehkannya tersenarai dalam kesebelasan utama oleh Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Selain itu, kata-kata semangat yang diberikan oleh penyokong sejati Helang Merah turut membakar semangat dirinya untuk kembali pulih dan beraksi demi skuad Hijau Kuning tersebut.

"Penyokong memahami dan memberikan kata-kata semangat kepada saya semasa mengalami kecederaan, mereka mendoakan supaya saya cepat pulih.

"Sebab itu juga saya rasa perlu pulih secepat mungkin dan membalas kepercayaan mereka selain barisan kejurulatihan, pegawai dan rakan-rakan sepasukan," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com