Wanita Pecah Rekod Bergayut Guna Gigi


PAKAR lagak ngeri Amerika Syarikat (AS), Erendira Wallenda memecah rekod dunia apabila melakukan aksi berbahaya berjuntai dengan giginya dari helikopter di atas air terjun tertinggi di dunia, Niagara.

Wanita berusia 36 tahun itu melakukan lagak ngerinya pada Khamis, lima tahun selepas suaminya, Nik Wallenda melakukan aksi lagak ngeri dengan meniti di atas tali yang merentasi air terjun.

Dalam aksi berbahaya berkenaan, ibu kepada tiga orang anak itu telah duduk di dalam gelung yang diikat pada sebuah helikopter pada ketinggian 91 meter daripada permukaan air.

Dengan berpakaian sut badan berwarna hitam, dia mempersembahkan beberapa pergerakan akrobatik sebelum menggunakan giginya untuk menggigit tempat khas sebelum bergayut pada gelung berkenaan.

Katanya, lagak ngeri itu memecah rekod lebih tinggi dari suaminya pada 2011 semasa Nik Wallenda bergantung dengan gigi berjarak 76 meter di atas Bandar Silver Dollar di Branson, Missouri.

Wallenda berkata, dia mengalami kesukaran kerana angin yang kuat, seperti yang dihadapi oleh suaminya pada 2012.

Ujarnya, cabaran itu merupakan pengalaman yang hebat dan mengagumkan.

Hanya berpuluh-puluh orang yang menonton lagak ngeri itu untuk menyaksikan persembahan wanita tersebut berbanding suaminya, Nik Wallenda yang mendapat perhatian ratusan pengunjung ketika dia merentasi air terjun Niagara.

Aksinya yang terbaru itu telah menaikkan nama keluarga Wallenda, yang terkenal kerana mengagumkan penonton dari seluruh dunia dengan lagak ngeri mereka yang hebat dari ketinggian yang menakutkan.

Pada Jun 2013, suaminya menjadi lelaki pertama yang menyeberangi Grand Canyon di atas tali tegang, menyempurnakan aksi pecah rekod di bawah 23 minit. 

Sumber : MAIL ONLINE

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com