VIDEO: Sebak Melihat Anak Mejar Yazmi Ditenangkan Tunku Azizah


MENYENTUH perasaan, sebak dan sayu...

Itu antara luahan netizen apabila beberapa siri foto anak sulung Mejar Yazmi Mohamed Yusof, Mikhail Adam Riaz, 11, menangis dalam dakapan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah menjadi tular di laman sosial.

Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, RBO Rahim Othman beserta nukilan bertajuk ‘Mereka Adalah Wira Negara’ memaparkan Mikhail sedang menangis sambil dipujuk dan ditenangkan oleh Tunku Azizah yang hadir melawat bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Difahamkan sepanjang berada di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Mikhail gagal menahan sebak dan menangis sebelum dipujuk oleh Tunku Azizah yang turut tersentuh.

Suasana pilu itu menyebabkan anggota keluarga yang hadir di pekarangan Unit Forensik turut mengalirkan air mata.

Entri tersebut telah dikongsi lebih 5,720 pengikut dan mendapat hampir 3,000 komen yang rata-ratanya sayu melihat wajah sebak Mikhail.

Khamis lalu, dua juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Hawk 108, Mejar Yazmi Mohamed Yusof TUDM, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari TUDM, 31, dilaporkan hilang di sempadan Pahang-Terengganu kira-kira jam 11.30 pagi ketika menjalani sesi latihan.

Jasad kedua-dua juruterbang berkenaan ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan lengkap berpayung terjun di kawasan hutan berpaya berhampiran Chukai, Kemaman kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM, Kuantan.

Jenazah Mejar Mohd. Yazmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa, Kuala Lumpur manakala jenazah Mejar Mohd Hasri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda, Jempol, Negeri Sembilan.

Yazmi meninggalkan seorang balu, Noor Shafora Izwa Mohd Hilmi bersama enam anak iaitu Mikhail Adam Riaz, 11, Mukriz Anwar Riaz, 10, Muaz Addin Riaz, 7, Mika Adden Fiaz, 4, Mika Ayman Riaz, 4, dan Musa Akhtar Raiz, 3.

Manakala Mohd Hasri meninggalkan seorang balu, Assyuhadak Ahmad, 30, dan seorang anak perempuan, Nur Hafiya yang berusia lapan bulan. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com