Video Rahsia Bongkar Cerita Puteri Diana Pernah Cuba Bunuh Diri


WALAUPUN sudah hampir 20 tahun meninggal dunia, nama Puteri Diana masih terus kekal segar di ingatan setiap masyarakat sedunia lebih-lebih lagi penduduk di United Kingdom (UK).

Terbaharu, terdapat satu lagi penemuan mendakwa Puteri Diana pernah cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya sendiri beberapa minggu selepas melangsungkan perkahwinan diraja gilang-gemilang dengan pewaris tahkhta, Putera Charles.

Memetik Mirror, perkara itu didedahkan media di UK berdasarkan sumber yang mendakwa menemui sebuah rakaman video rahsia melibatkan pengakuan ‘penderitaan’ puteri berjiwa rakyat itu.

Menurut sumber, Puteri Diana atau lebih dikenali sebagai Lady D didakwa berkata dalam rakaman video itu, “Saya berasa sangat tertekan sehingga pernah mengelar pergelangan tangan dengan pisau pencukur.”

Pendedahan mengejutkan itu merupakan antara beberapa siri kehidupan Diana yang dilaporkan sentiasa bergelumang dengan tekanan perasaan sepanjang berkahwin dengan Charles.


Ketika masih bergelar suami isteri, Charles masih menjalinkan hubungan dengan kekasih gelapnya, Camilla yang kini telah sah bergelar isteri pewaris diraja UK itu.

Video pengakuan Diana yang pernah cuba bunuh diri itu dipercayai dirakam pada tahun 1991 dan tersimpan rapi sejak dari itu.

Walaupun maklumat dalam video itu didedahkan, namun sehingga kini rakaman video terbabit tidak pernah ditayangkan kepada umum.


Maklumat pengakuan Diana itu dikhabarkan bakal dimaksudkan ke dalam buku memoir tulisan Andrew Morton, Diana – Her True Story menerusi cetakan terbaharu buku itu kelak.

Ibu kepada Putera William dan Putera Harry itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Paris pada 31 Ogos 1997.

Selain Diana, kemalangan tragik itu turut mengorbankan teman lelakinya, Dodi Al Fayed dan pemandu kenderaan mereka, Henri Paul. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com