Unik! Penduduk Kg Padang Gelam Berbuka Atas Jalan


ALOR SETAR - Bagi sesetengah pihak, mungkin perbuatan berbuka puasa di atas jalan tar merupakan satu perkara yang dianggap pelik untuk diadakan.

Namun bagi penduduk Kampung Padang Gelam di Jitra, tradisi gotong-royong memasak juadah iftar dan kemudian berbuka puasa beramai-ramai di atas jalan berturap sudah menjadi amalan mereka sejak 70 tahun yang lalu!


Menurut Pengerusi Pakatan Surau kampung berkenaan, Adrul Ismail berkata, tradisi itu sememangnya menjadi satu amalan yang wajib dan penduduk kampung bekerjasama baik mengadakan majlis berkenaan.

"Tak pernah selang, setiap kali bulan puasa majlis ini akan dibuat di sini tiap-tiap tahun.

"Dari sudut persiapan, kita kumpul duit dari penduduk kampung, anak-anak kariah dan sumbangan dari luar," katanya kepada media, baru-baru ini.


Salah seorang penduduk kampung, Nadiah Ahmad menjelaskan bahawa tradisi seperti itu akan diteruskan bagi menjalin hubungan lebih erat dan menjamin silaturrahim di kalangan penduduk kampung terus terjalin mesra.

"Ia mengeratkan hubungan kami," katanya.

Usaha berkenaan turut dihargai oleh generasi muda di kampung berkenaan dan berhasrat untuk terus diadakan pada masa yang akan datang.

"Bagi generasi muda, kita kena hargailah, bagi semangat kepada budak-budak untuk meneruskan aktiviti seperti ini pada masa depan," kata Mohd Iqmal Abdul Mutalib pula. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com