Turki Gesa Segera Adakan Dialog Untuk Selesai Isu Qatar


ISTANBUL – Turki menggesa negara-negara Teluk menyelesaikan segera krisis diplomatik melibatkan Qatar yang masih berlarutan sehingga hari ini melalui dialog, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

Jurucakap Presiden Ibrahim Kalin ketika ditemui pemberita berkata keutamaan Turki ialah memulihkan ketegangan di rantau itu menerusi rundingan dan bukannya meningkatkan ketegangan.

“Dalam isu ini, Arab Saudi perlu memainkan peranan utama. Sebagai negara paling ‘dihormati’ di rantau itu, Arab Saudi mempunyai peluang dan keupayaan untuk menyelesaikan krisis yang berlaku,” ujar Kalin.

Baru-baru ini, beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Yaman memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar setelah menuduh Doha menyokong aktiviti keganasan.

Qatar bagaimanapun menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkan langkah diambil negara-negara tersebut ‘tidak berasas’.

Ankara menegaskan mereka menolak sebarang sekatan yang dikenakan terhadap Qatar, dan mahu Riyadh mengambil langkah segera menamatkan krisis itu.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebelum itu berkata sebagai ketua yang dihormati di negara Teluk, Raja Arab Saudi perlu menyelesaikan krisis tersebut.

Menurut Kalin, keputusan kerajaan Turki menempatkan tentera mereka di Qatar bertujuan untuk membantu menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau Teluk.

“Kehadiran tentera Turki di Qatar adalah untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan di antara kedua-dua negara, begitu juga dengan negara-negara Teluk yang lain,” katanya mengulas keputusan Parlimen Turki minggu lalu yang meluluskan menempatkan tentera mereka di negara kecil di Teluk itu untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan selain melatih tentera Qatar.

Perjanjian melibatkan kerjasama ketenteraan itu telah ditandatangani di Doha April lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kalin berkata rundingan di antara Turki dan pihak berkuasa Kurdish di Iraq akan diteruskan. Bagaimanapun, beliau berkata keputusan pihak berkenaan untuk mengadakan referendum kemerdekaan di wilayah yang dikuasai mereka di utara Iraq adalah ‘salah’.

Pemimpin Kerajaan Wilayah Kurdish (KRG) Masoud Barzani minggu lalu mengumumkan akan mengadakan pengundian pada 25 September bagi memberi peluang rakyat memilih sama ada mereka mahu ‘merdeka’ dari Iraq – langkah yang disifatkan Menteri Luar Turki sebagai ‘kesilapan besar’.

“Matlamat utama kami adalah untuk membetulkan kesilapan ini melalui rundingan. Kami akan cuba menyelesaikan isu ini,” kata Kalin.

Katanya pihaknya tidak bercadang mengambil tindakan drastik berhubung isu itu seperti mengenakan sekatan atau menutup pintu sempadan selagi rundingan masih berlangsung.

Kalin berkata Iraq mempunyai masalah yang lebih penting untuk diselesaikan.

“Jika langkah itu diambil, ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menambah lagi masalah yang dihadapi mereka,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com