Tragedi Grenfell Cetus Bantahan


LONDON - Beribu rakyat Britain me­ngadakan tunjuk perasaan mereka untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tragedi kebakaran Grenfell Tower ketika Perdana Menteri Britain, Theresa May terus dikecam hebat kerana gagal menunjukan sikap prihatin dan gagal menjawab secara terus terang soalan yang dikemukakan dalam satu temu bual yang berkaitan insiden ber­kenaan.

Dalam temu bual dengan BCC, May dilihat tidak selesa apabila ditanya soalan-soalan panas yang diajukan pengacara rancangan Newsnight, Emily Maitlis tentang tindakan beliau berkaitan kejadian berkenaan.

Ketika ditanya tentang kegagalannya memahami kemarahan orang ramai yang terlibat dalam kebakaran itu, May dilihat seolah-olah cuba mengelak untuk menjawab pertanyaan berkenaan dan tidak menjawabnya secara terus.

May sebelum ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila hanya melawat tempat berlakunya tragedi yang dashyat tetapi tidak bertemu dengan mangsa kejadian dengan alasan keselamatan kecuali selepas dikritik.

Beberapa jam sebelum temu bual tersebut, penduduk London yang tidak berpuas hati dengan May bertindak menyerbu ibu pejabat pihak berkuasa tempatan.

Mereka menuntut keadilan untuk mangsa kebakaran Grenfell Tower sambil memegang gambar-gambar ahli keluarga serta rakan-rakan yang masih hilang dan belum dikenal pasti dalam kejadian itu.

Penduduk tempatan juga me­nuduh polis cuba menyembunyikan angka sebenar kematian selepas hanya 30 orang disahkan maut dengan lebih 70 lagi dikatakan masih belum dikenal pasti.

“Kami langsung tidak diberi sebarang maklumat mengenai rakan-rakan dan ahli keluarga kami yang turut terlibat dalam kebakaran itu. Kami bukan berada di sini untuk mencetus masalah, kami hanya mahukan jawapan,” kata seorang wanita, Salwa Buamani kepada agensi berita AFP.

Berpuluh-puluh pegawai polis terpaksa mengawal keadaan dan menenangkan orang ramai yang menggesa May meletak jawatan selain cuba menghalang keretanya daripada meninggalkan sebuah gereja tempatan, selepas bertemu mangsa, penduduk dan sukarelawan dan berjanji untuk menyalurkan dana baru kepada mereka yang terjejas.

Ketegangan turut tercetus di luar pejabat Kensington dan Maj­lis Perbandaran Chelsea, yang bertanggungjawab menguruskan blok perumahan sosial untuk kelas pekerja yang dibina pada tahun 1970, di salah sebuah kawasan paling kaya di London.

Penunjuk perasaan juga mempersoal mengapa blok Grenfell Tower tidak dilengkapi perenjis atau penggera asap berpusat dan mendakwa pengubahsuaian termasuk pemasangan penutup luar yang baharu sebagai punca api merebak.

“Ia umpama perangkap maut, dan mereka tahu,” laung seorang penunjuk perasaan di luar ba­ngunan tersebut dengan berpuluh-puluh lagi bertempur dengan pihak polis dan pengawal ke­selamatan.

Tunjuk perasaan juga berlangsung di beberapa buah lokasi lain termasuk di luar pejabat May di Downing Street, Trafalgar Square dan Oxford Circus di tengah London.-AGENSI

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com