Tiga Rumah Dua Tingkat Di Kuala Kedah Musnah Terbakar


ALOR SETAR - Tiga rumah dua tingkat di Kampung Padang, Kuala Kedah di sini musnah dalam kebakaran , awal pagi semalam.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba, Mohd Naim Mat Jaaffar berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada kira-kira 12.27 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

"Seramai 35 anggota terbabit dalam operasi itu berjaya memadam kebakaran tidak lama kemudian," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati, dua daripada rumah itu tidak berpenghuni, manakala sebuah lagi didiami seorang warga emas berusia 60-an, namun mangsa tiada di rumah kerana dipercayai menetap di rumah anaknya.

Katanya, struktur rumah yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api mudah marak sehingga memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah.

Punca kebakaran dan nilai kemusnahan sedang dalam siasatan, katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com