Tiada Keperluan Pilihan Raya Kecil, Mahkamah Putuskan Dr.Ting Masih ADUN Pujut


KUCHING - Mahkamah Tinggi di sini, memerintahkan Dr Ting Tiong Choon yang dipecat oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 12 Mei lalu, dikembalikan statusnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut. 

Hakim Datuk Douglas Christ Primis Sikayun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Dr Tiong Choon yang mencabar keputusan Speaker DUN Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung pemecatannya.

 Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati Dr Tiong Choon tidak diberi ruang sepenuhnya bagi membela diri yang didakwa memiliki kewarganegaraan Australia.

Selain itu, katanya, Speaker membuat takrifan perundangan yang tidak tepat berkenaan hal kewarganegaraan.

 "Pemohon (Dr Tiong Choon), juga dinafikan hak mendapat keadilan asasi bagi membela dirinya atas dakwaan memiliki kewarganegaraan negara berkenaan.

 "Speaker tidak sepatutnya membawa isu kewarganegaraan pemohon dalam perdebatan DUN kerana isu itu memerlukan kajian lebih mendalam. 

Speaker tidak sepatutnya menjadi 'pendakwa raya'. "Hal kewarganegaraan, adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Speaker membuat keputusan kurang tepat dalam mentakrifkan undang-undang mengenai kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan, " katanya. 

Sehubungan itu, katanya, tiada keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pujut, kerana Dr Tiong Choon, dikembalikan kedudukan sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan. 

Sementara itu, mahkamah memerintahkan Mohamad Asfia dan Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh membayar bersama kos guaman RM100,000 kepada Dr Tiong Choon. Mahkamah mendapati kedua-dua defenden berkenaan terbabit secara langsung dalam hal pemecatan Dr Tiong Choon, sebagai ADUN Pujut.

 Katanya, mahkamah berpendapat Mohamad Asfia dan Soon Koh, tidak sepatutnya membawa usul pemecatan Dr Tiong Choon, tanpa melakukan persiapan sepatutnnya.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com