Tiada Cuti Aidilfitri Bagi 600 Kakitangan TNB Kedah

  TNB

ALOR SETAR - Pengurus Besar Perkhidmatan Pengguna TNB negeri Kedah, Ismail Lathifi Teh telah menetapkan bahawa tiada cuti bagi 600 kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah menjelang perayaan Aidilfitri kelak.

Menurutnya kakitangan TNB harus bersiap siaga untuk bertugas selama 24 jam secara berjadual sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mengelakan sebarang kemungkinan berlakunya gangguan bekalan elektrik.

Pihak TNB Kedah akan berusaha sedaya mungkin bagi memberi perkhidmatan yang terbaik agar bekalan elektrik terus disalurkan kepada penduduk di seluruh negeri untuk memastikan mereka menyambut hari raya tanpa sebarang masalah.  

"TNB juga telah membuat persiapan dan membuat pemeriksaan di semua stesen janakuasa dan pencawang selain mempersiapkan pasukan yang akan ditugaskan secara berjadual 24 jam agar pengguna dapat perkhidmatan yang  pantas sekiranya sesuatu bekalan terputus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang di Masjid Jamek Al-Islah, Kampung Perik, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ismail turut menjelaskan bahawa pihaknya telah menyediakan empat set janakuasa set generator (Genset) berkapasiti antara 500 hingga 1,000 kilowatt sebagai alternatif lain bagi menghadapi gangguan elektrik.

"Ada kalanya berlaku sedikit gangguan di kawasan tertentu dengan Genset ini ia boleh membekalkan tenaga kepada tiga hingga empat kampung pada satu masa dan boleh digunakan secara berterusan sehingga bekalan dipulihkan.

"Setakat ini empat unit kita sediakan dari syarikat kontraktor TNB dan jika memerlukan lebih dari itu, kita akan pinjam dari negeri-negeri jiran lain agar masyarakat terus dapat menikmati bekalan untuk keselesaan mereka di hari perayaan," katanya .

Justeru itu, rakyat turut dinasihati supaya menggunakan tenaga elektrik secara berhemah kerana beberapa gangguan mampu menyebabkan berlakunya kebakaran.

"Kalau nak balik kampung kena pastikan perkakasan elektrik di rumah ditutup, kalau hendak pasang lampu gunalah jenis 'timer' yang akan padam waktu siang, agar tidak terpasang terlalu lama hingga boleh terbakar.

"Ini semua perlu diambil berat supaya Hari Raya yang disambut nanti memberi kemeriahan bukan kesedihan akibat ditimpa bencana akibat kecuaian kita sendiri," katanya.-Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com