Terus Fokus, Tak Mustahil Kedah Pertahan Piala Malaysia - Fitri Omar


ALOR SETAR - Berkat keazaman yang kuat, memberi tumpuan sepenuhnya dan sokongan dari puluhan ribu peminat setia pasukan Hijau Kuning menjadi "tonik" pemangkin perjuangan skuad Lang Merah untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia musim ini.

Pemain pertahanan berpengalaman Kedah, Fitri Omar berkata, adalah tidak mustahil bagi penyandang Juara Piala Malaysia untuk beraksi sekali lagi di perlawanan akhir piala berprestij itu sekiranya terus konsisten mempamerkan kemampuan sebenar pasukan.

"Selain mempunyai pemain yang bagus, Kedah juga telah membuktikan kemampuan yang ada dengan menjuarai Piala FA bulan lalu.

"Apa yang penting sekarang kesemua pemain termasuk diri saya perlu fokus dan terus berusaha untuk berada di final Piala Malaysia musim ini.

"Ia tidak mustahil jika kami terus berusaha. Cuma kita juga kena reda dengan kententuanNya," katanya yang dipetik dari portal online, mStar.

Selain itu, Fitri turut meluahkan keyakinannya terhadap Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Mohd Yusoff yang kini menjadi tonggak kekuatan pasukan dan akan memacu Lang Merah gagah terbang ke puncak persada bola sepak tanahair.

Paling mengharukan, pemain berusia 31 tahun itu turut mengiktiraf kesetiaan tidak berbelah bagi semua peminat skuad Hijau Kuning di seluruh negeri Kedah yang menjadi salah satu faktor utama bagi setiap pemain untuk terus berjuang hingga ke wisel penamat.

Undian pada musim ini menyaksikan skuad Lang Merah bakal berdepan cabaran dalam kumpulan C bersama 3 pesaingnya Melaka United, UITM FA dan Kelantan, yang difahamkan bukan calang-calang pasukan serta mampu membuat kejutan diluar dugaan. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com