Teruja Terima Kunjungan PM Ziarah Ibu Bapanya Yang Kurang Upaya


KUBANG PASU – Perasaan terharu dan teruja berbaur harapan tersirna dari hati seorang ibu tunggal apabila menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansur, di sini petang semalam.

Intan Zulina menzahirkan rasa besar hatinya dengan kehadiran pasangan No.1 negara itu yang sudi meluangkan masa melawat ibu dan bapanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kodiang Lama Luar, di Kodiang.

“Saya mengharapkan ada sinar baharu untuk kami sekeluarga dengan kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak melawat mak ayah saya. Saya rasa dengan kehadiran beliau mungkin kami sekeluarga akan mendapat bantuan lebih baik lagi selepas ini,” katanya kepada media.

Mohd Najib tiba di rumah pasangan itu kira-kira pada jam 6.30 petang bersama isteri sebelum meluangkan masa kira-kira 10 minit bertanya khabar Osman Jusoh, 77, dan Siti Zabedah Saidin, 69, selain menyampaikan sumbangan peribadi dan kotak barakah yang terdiri daripada barangan keperluan makanan.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Datuk Abu Hassan Shariff.

Intan Zulina, 31, yang merupakan anak tunggal pasangan itu menjelaskan bahawa keterujaannya untuk bertemu Mohd Najib bermula apabila dia dimaklumkan bahawa tentang kunjungan Perdana Menteri ke rumahnya pada Sabtu lalu.

Jelasnya lagi, itu merupakan pengalaman pertamanya untuk bertemu dengan Mohd Najib secara bersemuka.

Menjelaskan mengenai  keadaan ibu bapanya , Intan Zulina yang berniaga nasi lemak berkata, ibunya tidak boleh bercakap sejak lahir, tidak mampu berjalan dan terlantar sakit sejak hampir 20 tahun lalu akibat dipercayai kerana terjatuh di bilik air.

“Ayah saya pula tidak boleh berjalan menggunakan kaki selepas mengalami demam panas sewaktu kecil, dengan hanya boleh mengesot menggunakan lutut untuk ke mana-mana. Ayah saya boleh bercakap tetapi percakapannya tidak jelas sepenuhnya,” kata beliau.

Kata Intan Zulina lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menghulurkan bantuan yang diberi atas nama ibunya sebagai pesakit terlantar sebanyak RM300 sebulan, namun berharap agar pihak lain dapat menghulurkan bantuan tambahan kepada keluarganya.

“Dulu saya bekerja tetapi terpaksa berhenti untuk memberikan tumpuan menjaga mak ayah saya sepenuhnya. Pendapatan saya berniaga dapat sekitar RM500 hingga RM600 sebulan, jadi dalam sebulan pendapatan kami sekeluarga lebih kurang RM900," jelasnya.

Ibu tunggal itu berkata, dia juga perlu menanggung tiga anak lelakinya yang kini berumur 12 tahun, 10 tahun, dan 7  tahun selepas berpisah dengan suaminya pada tahun 2014. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com