Tembakan Meriam Hidup Nostalgia Zaman Sultan Abu Bakar


PEKAN - Bunyi tembakan meriam setiap kali menjelang waktu berbuka puasa sepanjang Ramadan bukanlah perkara baharu bagi penduduk Pekan, malah mereka akan merasakan kekurangan sesuatu jika tembakan itu tidak kedengaran.

Ia bagaikan menjadi tradisi kepada penduduk daerah itu sejak dimulakan setengah abad yang lalu pada 20 Dis 1967, hasil cetusan idea dan perkenan Sultan Pahang Sultan Abu Bakar.

Penggunaan meriam jenis Bavaria model-M635 ini pernah dihentikan pada 25 Ogos 1977, namun letupannya kembali menghiasi senja Ramadan pada 14 Okt 1980 hingga sekarang.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata tembakan meriam ini, dahulunya sangat penting kepada penduduk kampung untuk mengetahui waktu berbuka puasa memandangkan lokasi rumah penduduk yang berada agak jauh antara satu sama lain sehingga sukar mendengar bunyi azan di masjid.

"Jadi, penduduk dahulu bergantung sepenuhnya kepada bunyi meriam terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pinggir Sungai Pahang kerana bunyinya mampu didengar sehingga sejauh satu kilometer," katanya ketika ditemui Bernama dekat sini.

Amran berkata tradisi itu masih diteruskan sehingga kini dengan IPD Pekan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan meriam seberat 415 kilogram ini, menggunakan peluru blank 75 milliliter dengan pemantauan secara bergilir enam anggota polis bertugas.

Katanya selain untuk memberitahu masuknya waktu berbuka, tembakan meriam itu juga digunakan untuk menandakan umat Islam mula berpuasa pada awal Ramadan serta tanda pengisytiharan Aidilfitri dengan masing-masing dua das tembakan dilepaskan.

Sementara itu, seorang penduduk jati Pekan, Mansor Mohamad, 77, berkata tembakan meriam tersebut adalah keunikan Pekan, sesuai statusnya sebagai Bandar Diraja.

"Bunyi meriam yang didengari membangkitkan nostalgia waktu kecil dulu, yang mana ketika itu saya dan kawan-kawan suka berehat dan tidur di tepi sungai sambil menunggu tembakan meriam yang menjadi tanda waktu buka puasa.

"Saya berharap tradisi berkenaan akan berterusan agar dapat dirasai generasi akan datang," katanya.

Bagi Jeriah Abdul Rahman, 66, pula beliau berkata, tembakan meriam di daerah ini memang akan mengejutkan mereka yang pertama kali mendengarnya, namun berbeza dengan penduduk jati bandar Pekan yang sudah lali.

Mereka setia menantikan bunyi meriam untuk berbuka puasa walaupun zaman kini sudah jauh moden dengan pemberitahuan waktu berbuka puasa menerusi siaran radio, televisyen dan juga Internet.

"Namun bagi penduduk di daerah Pekan sendiri, tradisi ini tidak mungkin terhakis dek kemodenan dan sudah pasti berharap agar ia dikekalkan sampai bila-bila," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com