Tarikan Terbaru Di Underwater World Langkawi Tak Lama Lagi


LANGKAWI – Underwater World Langkawi (UWL) kini sedang menyiapkan satu tarikan baharu di sini – satu ekosistem pantai mini tiruan – yang akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

Pengurus Besarnya Abdul Razak Abdul Aziz berkata projek itu yang bermula awal tahun ini pada asalnya dijangka siap bulan lepas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana halangan dalam mendapatkan flora dan fauna yang hidup.

“Kami mahu ekosistem ini seperti semula jadi seboleh mungkin dan walaupun lewat, saya yakin tarikan baharu ini akan disediakan kepada orang ramai selepas cuti Hari Raya,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran UWL kelmarin.

Sementara itu, beliau berkata UWL juga merancang mendapatkan tiga spesies anjing laut sebagai tambahan kepada dua ekor sedia ada di Aquaria di Jalan Pantai Cenang di sini.

Menurutnya kejayaan program pembiakan penguin UWL yang bermula pada 2006 telah membolehkannya membekalkan spesies Afrika Selatan dan Rockhopper ke beberapa zoo di sekitar Asia.

Abdul Razak berkata antara permintaan terkini yang diterima UWL adalah dari zoo di China dan Dubai dan Emiriyah Arab Bersatu. Sebahagian daripada mereka juga menunjukkan minat mahu melibatkan kakitangan kami yang khusus sebagai perunding.

Beliau berkata di sebalik kelembapan ekonomi global dalam tempoh dua tahun lepas yang menjejaskan pertumbuhan industri pelancongan, aktiviti UWL tidak pudar.

“Kami masih mampu mengekalkan sekitar 600,000 pelawat setahun (dalam tempoh dua tahun lepas)_,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com