Tarikan Luar Biasa Bubur Lambuk Udang Lipan


KANGAR  – Bubur lambuk udang lipan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Jalan Kampung Bakau di sini mendapat sambutan luar biasa apabila licin tidak sampai sejam sebaik sahaja diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Shamsul Shuib berkata, biasanya setiap hari sebanyak 350 bungkus bubur lambuk udang lipan diagihkan untuk orang ramai di tepi jalan sekolah berkenaan.

“Sekalipun kita akan mula mengagihkan bubur ini sebaik tamat azan Asar tetapi sebenarnya telah ada kereta telah sedia berbaris selain yang datang dengan motosikal, basikal atau berjalan kaki,” katanya baru-baru ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail juga turut mengagih-agihkan bubur lambuk udang lipan itu kepada orang ramai.

Shamsul berkata, ini merupakan tahun kedua Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SK Sena menganjurkan program bubur lambuk udang lipan percuma.

“Idea meletakkan udang lipan ini kerana ia mampu memberikan rasa yang lebih manis berbanding dengan daging yang biasanya menjadi ramuan utama bubur lambuk,” katanya .

Shamsul berkata, biasanya pada setiap hari mereka akan menggunakan sepuluh kilogram beras dan lapan kilogram udang lipan selain bahan-bahan lain.

Beliau berkata, guru dan kakitangan SK Sena turut bergotong royong menyediakan bahan-bahan untuk memasak.

Bagaimananpun katanya, untuk tugas memasak diberikan tanggungjawab kepada Muhd. Khairi Nordin, 37, yang berpengalaman sebagai tukang masak di sebuah hotel di Langkawi.

Shamsul berkata, pada tahun ini, mereka akan mengagihkan bubur lambuk udang lipan ini selama 25 hari sahaja.

Selain itu, katanya pihaknya juga menyediakan tabung khas bagi membolehkan orang ramai menyumbang bagi menjayakan program bubur lambuk udang lipan ini.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com