Suku Populasi Dunia Hadapi Masalah Gemuk, Obesiti

  Image result for OBESITI

WASHINGTON - Lebih 2 bilion kanak-kanak dan individu dewasa menghadapi masalah gemuk dan obesiti, malah mengalami masalah kesihatan akibat berat mereka.

Menurut laporan Journal of Medicine, proses pemodenan, diet yang teruk dan kurang aktiviti fizikal menyumbang kepada pertambahan berat badan.

Amerika Syarikat (AS) mempunyai peratusan kanak-kanak dan remaja obesiti terbesar di dunia iaitu 13 peratus.

Mesir pula mempunyai peratusan individu dewasa obesiti terbesar di dunia iaitu hampir 35 peratus dari jumlah populasi negara mereka.

Pada 2015, 2.2 bilion penduduk dunia disahkan gemuk dan lebih 710 juta dari jumlah tersebut disahkan mengalami obesiti.

Dari jumlah tersebut pula, 5 peratus dari jumlah tersebut adalah kanak-kanak dan 12 peratus adalah individu dewasa.

Mereka yang meninggal dunia kerana masalah kesihatan akibat berat badan berlebihan seperti penyakit kardiovaskular juga semakin meningkat.

40 peratus dari empat juta penduduk dunia yang menderita pula adalah disebabkan indeks jisim badan (BMI) yang tinggi dan masih belum mencapai tahap obesiti.

Mengikut indeks BMI, mereka yang mempunyai BMI 25 hingga 29.9 dianggap sebagai gemuk dan BMI lebih dari 30 pula dianggap obesiti.

"Mereka yang buat tak tahu mengenai berat badan berlebihan akan tanggung risiko; risiko penyakit kardivaskular, diabetes, kanser dan banyak lagi penyakit yang mengancam nyawa," kata Pengarah Institusi Metrik dan Penilaian Kesihatan di University of Washington, Dr. Christopher Murray.

Berdasar laporan tersebut, wanita yang mengalami obesiti adalah lebih ramai dari lelaki, tanpa mengira peringkat umur.

Peningkatan individu obesiti yang meningkat di semua negara juga tidak mengira taraf kehidupan; kaya atau miskin.

"Perubahan dari segi pemakanan dan sistem makanan adalah punca utama.

"Makanan yang mudah ditemui, mudah diakses, murah, kempen iklan makanan yang agresif berkait dengan pengambilan makanan yang banyak dan peningkatan berat badan di antara populasi yang berbeza," kata laporan tersebut.

Penolong profesor di Harvard T.H. Chan School of Public Health, Goodarz Danaei menggelar keadaan ini sebagai 'obesity epidemic'.

"Kita perlu kawal kesan obesiti dengan baik secara global dan bantu mereka yang mengalami obesiti untuk mengurangkan berat badan," jelas Danaei.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com