Sistem Kawalan Longgar Punca Ibu Pejabat Imigresen Dan KPDNKK Dipecah Masuk

ALOR SETAR - Sistem kawalan yang longgar menjadi punca utama dan memberi peluang kepada pencuri untuk memecah masuk ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan di pejabat Jabatan Imigresen Kedah di Tingkat Dua Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit di sini, kelmarin.

Ekoran gagal untuk 'memungut' hasil di pejabat imigresen, sekumpulan pencuri terbabit beralih arah ke pejabat KPDNKK di bangunan yang sama.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian yang berlaku lewat tengah malam tersebut disedari oleh kakitangan kedua-dua pejabat berkenaan yang mahu memulakan tugas pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati pencuri tersebut berjaya melarikan wang tunai hampir RM2,000 dalam kejadian di bangunan yang terletak bertentangan di Bangunan Wisma Persekutuan tersebut.

"Kami turut menjumpai beberapa kesan cap jari di kedua-dua pejabat berkenaan dan tindakan mengesan suspek sedang dijalankan. Sehingga kini kami masih belum membuat sebarang tangkapan," katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun penjara dan denda. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com