Sanggup Cat Kamera Sebab Marah Dirakam Buat Salah


BEIJING – Seorang pemandu di Qingdao ditahan selepas mengecat kamera keselamatan lalu lintas menggunakan batang besi sepanjang lima meter selepas berang apabila dia dirakam melakukan kesalahan lalu lintas.

Satu portal berita di China melaporkan, lelaki itu ditangkap kerana merosakkan kamera keselamatan enam kali selepas dia disaman berulang kali kerana meletak kereta di kawasan berkenaan.

Dia dirakam menggunakan berus diikat pada batang besi berkenaan untuk mengecat lensa kamera yang digantung di Qingdao di wilayah Shandong, lapor Thepaper.cn.

Kamera itu pertama kali dirosakkan Mac lalu sebelum beberapa kali lagi dicat lelaki berkenaan.

Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu disaman lapan kali oleh pihak berkuasa lalu lintas Qingdao kerana meletakkan keretanya di atas kaki lima di kawasan itu.

“Kamera menunjukkan saya meletakkan kereta di situ tiga kali tahun lalu dan lima kali tahun ini.

“Setiap kali saya disaman 200 yuan (RM125) manakala tiga markah ditolak daripada lesen memandu saya,” katanya.

Disebabkan terlalu marah dia melepaskan geram terhadap kamera itu.

Perbuatannya akhirnya dikesan dan dia ditangkap minggu lalu.

Menurut laporan itu, lelaki terbabit mungkin ditahan selama 15 hari sebagai hukuman. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com