Ronaldo Tinggalkan Real Madrid?


CRISTIANO Ronaldo memutuskan untuk meninggalkan Real Madrid pada musim panas ini, demikian menurut laporan di Portugal.

Muka depan "A Bola" pada Jumaat mendakwa bekas bintang Manchester United itu berang selepas didakwa atas tuduhan cuba mengelak cukai bernilai 13 juta pound sterling oleh pendakwa Sepanyol.

Laporan itu turut mendakwa keputusan Ronaldo untuk meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu tidak akan ditarik balik.

Malah Ronaldo dilaporkan sudah memaklumkan mengenai hasrat itu kepada Presiden Madrid, Florentino Perez.

Awal minggu ini, pejabat pendakwa di Madrid mengesahkan bahawa tuntutan mahkamah telah difailkan terhadap pemain berusia 32 tahun itu.

Sejak dari itu, Ronaldo sering ditanya mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

"Saya mempunyai suara hati yang jelas," jawabnya ringkas terhadap pertanyaan itu.

Madrid turut mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap Ronaldo bahawa beliau boleh membuktikan dirinya tidak bersalah.

Pejabat pendakwa di Madrid menuduh Ronaldo menggunakan struktur perniagaan untuk menyembunyikan pendapatan yang diterima hasil hak imejnya antara tahun 2011 dan 2014.

Sumber : Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com