Rezeki Allah Dari Lemang Periuk Kera


KUANTAN - Kepayahan mencari buluh untuk membuat lemang telah memberi idea kepada Ahmad Kamal Awang untuk menggunakan periuk kera sebagai pengganti.

Sepanjang Ramadan, permintaan lemang sangat tinggi, menyebabkan buluh semakin berkurangan dan disebabkan itu juga Ahmad Kamal, 45 mencari alternatif.

“Oleh itu, saya mula menyediakan lemang dengan daun periuk kera yang banyak tumbuh di Muadzam Shah, Pahang.

“Ia lebih senang dan murah berbanding buluh,” katanya yang menjual lemang periuk kera sejak dua tahun lalu.

Berharga RM1 setiap satu, makanan itu berjaya dijual sehingga lebih dari 800 setiap hari.

“Penyediaan lemang periuk kera sama sahaja dengan lemang tradisional. Kita cuma memerlukan nasi dan santan,” kata Ahmad Kamal.

Namun, lemang periuk kera ini direbus di dalam air dan bukan dipanggang di atas api.

“Ia sedap dimakan dengan ayam atau rendang daging, dan kos kombonya berharga RM4 untuk satu paket.

“Sesetengah pelanggan suka makan lemang dengan serunding dan saya jual dengan harga RM10 untuk satu paket,” katanya lagi.

Ahmad Kamal juga menjual lemang di pasar-pasar malam dan pasar tani.

Selain lemang, onde-onde, gula Melaka dan ketupat pulut juga dijual olehnya.

Sumber : Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com