Rendang Tok Mak Nik Dapat Sambutan 10 Kali Ganda


IPOH – Nama Rendang Tok Mak Nik sudah tidak asing lagi bagi penggemar juadah tradisional itu, terutama semasa perayaan Aidilfitri dan Aidiladha sehingga pernah menerima tempahan dua tan daripada seorang kenamaan pada Aidilfitri tahun lalu.

Tahun ini, hidangan tradisional negeri Perak itu menerima sambutan sehingga 10 kali ganda berbanding kebiasaan, demikian dedah Megat Syahrin Megat Aris, Penolong Pengurus Royale Rendang, syarikat pengeluar rendang berkenaan.

“Kebiasaannya kita hanya menggunakan sekitar 500 kilogram daging kerbau, namun untuk sepanjang Ramadan dan Syawal ini meningkat kepada lebih 5,000 kg,” katanya ketika ditemui Bernama di kilang rendang tersebut di Kampung Pasir Putih di sini baru-baru ini.

Megat Syahrin, 31, berkata mereka menerima tempahan bukan sahaja daripada orang perseorangan tetapi juga syarikat, badan korporat dan agensi kerajaan.

Katanya bagi memastikan syarikat berupaya memenuhi tempahan, mereka mengambil 15 pekerja sambilan.

“Kalau hari biasa kita hanya guna lima pekerja sahaja, namun disebabkan permintaan agak tinggi pada musim perayaan ini kami terpaksa guna pekerja sambilan yang juga penduduk setempat,” katanya.

Mengenai penggunaan daging kerbau sebagai ramuan utama, Megat Syahrin berkata daging kerbau lebih sesuai untuk rendang tok kerana tekstur daging lebih kasar berbanding daging lembu, sekali gus lebih serasi apabila diadun bersama rempah-ratus dan ramuan lain.

“Daging lembu lembut dan mudah hancur, justeru tidak berapa sesuai untuk dijadikan rendang tok yang memerlukan banyak rempah-ratus,” katanya

Menurut Megat Syahrin proses menyediakan rendang tok mengambil masa yang agak lama antara empat dan enam jam, bergantung kepada cara juadah itu dimasak.

Bercerita mengenai asal-usul perniagaan rendang itu, beliau berkata juadah tersebut menggunakan resipi asli yang diwarisi daripada Allahyarhamah Nafsiah Yeop Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mak Nik.

Katanya syarikat itu dibuka pada 1985 dan kini diuruskan oleh anak kelima Mak Nik, Shariffudin Mohamed, 51.

“Pada awalnya, arwah Mak Nik dan suami (Mohamed Pandak Hussein, 86) hanya berniaga di pasar tani di sekitar Ipoh tetapi selepas sambutan mengalakkan daripada orang ramai, kedua-dua mereka mengorak langkah hingga menjadikan juadah ini sebagai produk jualan.

“Kini Rendang Tok Mak Nik bukan sahaja dipasarkan di seluruh negara tetapi juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Mexico, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com