Remaja Ditikam, Sembilan Ditahan Termasuk Lima Pelajar Sekolah


MIRI – Seorang remaja maut dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dalam kejadian di Desa Senadin, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata mangsa, Fadrick Lucas, 19, yang bekerja sebagai mekanik, dijumpai dalam keadaan terbaring di depan sebuah rumah di tepi jalan, tidak berbaju, mengalami kecederaan di kepala, badan dan jari.

Beliau berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa dipercayai berjaya melarikan diri selepas diserang namun akibat kecederaan parah, mangsa gagal menyelamatkan diri.

“Kejadian berpunca daripada pergaduhan dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini yang berlaku pada 12 tengah hari semalam (kelmarin).

“Ekoran daripada pergaduhan itu, mangsa dan beberapa rakannya telah ke Taman Jumbo, Desa Senadin untuk menyelesaikan masalah itu secara baik, namun diserang oleh beberapa suspek yang ada kaitan dengan kejadian pergaduhan itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Stanley berkata polis berjaya menahan sembilan remaja lelaki termasuk lima pelajar tingkatan empat sekolah menengah terbabit untuk membantu siasatan.

“Empat suspek yang bukan pelajar sekolah berumur 19 hingga 20 tahun. Polis masih memburu suspek lain serta senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kes pembunuhan tiada kaitan dengan gengsterisme dan menyifatkan ia hanyalah masalah peribadi. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com