Rangka Pesawat Hawk 108 Ditemui


KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan kedudukan rangka pesawat pejuang Hawk 108, yang terhempas kelmarin, berhampiran Kampung Yak Yah di Chukai, Terengganu, pagi semalam.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan semalam berkata rangka pesawat itu dikesan setelah operasi mencari dan menyelamat menggunakan helikopter EC725 disambung pada 7 pagi Jumaat.

Sepasukan mencari dan menyelamat daripada Nombor 10 Skuadron Kuantan dianggotai oleh juruterbang Kapt Nazir Mohd Nor, Kapt Muhammad Yunus Mat Nor, Sarjan Udara Azrin Mohamad@Johor, Koperal Udara Sharizal Baktiar Jamali dan Koperal Udara Zulbakrin Masuda diturunkan dan mengesahkan pesawat malang tersebut, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, tindakan memasang perimeter keselamatan bagi tujuan penyiasatan serta keselamatan telah dilaksanakan, dan TUDM kini dalam usaha mengeluarkan rangka pesawat berkenaan.

Lembaga Penyiasatan yang diketuai Leftenan Kolonel A. John Sham bersama tiga lagi pegawai telah berada di lokasi untuk menjalankan penyiasatan yang bermula dari kelmarin.

Dalam kejadian pada 2.30 petang kelmarin, dua juruterbang pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM ditemukan maut di kawasan hutan paya Chukai, Kemaman setelah dilaporkan hilang dan terputus hubungan pada 11.30 pagi selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com