Rancangan Samun Kilang Buat Barang Kemas Di Butterworth Gagal


BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki dikehendaki polis berkaitan kes samun di Kuantan, Pahang terbunuh selepas ditembak sepasukan polis yang mengejarnya di Jalan Berjaya, di sini awal semalam.

Dalam kejadian pukul 1.25 pagi itu, suspek yang berusia 31 tahun dipercayai merancang untuk menyamun sebuah kilang membuat barang kemas di Butterworth sebelum terserempak dengan polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya kemudian mengekori kereta jenis Proton Iswara yang dipandu lelaki itu di Jalan Soon Ban Keng namun dia memecut ketika cuba ditahan untuk diperiksa.

“Polis akhirnya berjaya memintas kereta itu di Jalan Berjaya di sini namun ketika dihampiri kedengaran beberapa das tembakan dari arah kereta itu.

“Berikutan itu, polis terpaksa membalas tembakan sekali gus menembak mati suspek,” katanya kepada pemberita  di sini semalam.

Menurut Zainol, suspek memiliki rekod jenayah dan dikehendaki berkaitan kes di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun wang tunai RM30,000 daripada peniaga emas di Kuantan.

Mengulas lanjut berhubung kejadian terbabit, Zainol memberitahu, pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki lelaki itu menemukan sepucuk pistol berwarna hitam jenis CZ 75 P-01-Cal. 9 Luger bersama peluru dan kelongsong

Di samping itu, ujarnya, polis turut menemukan satu beg pinggang berwarna biru bersama suspek yang mengandungi kad pengenalan dan lesen memandunya.

“Polis turut menemukan sepasang sarung tangan putih, dua topeng muka, sebilah pisau kerambit serta sejumlah 16 peket kecil dadah dipercayai syabu dalam kereta itu,” katanya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com