Ramadan Masa Terbaik Dekati Golongan Muda


NIBONG TEBAL - Bulan Ramadan menjadi waktu terbaik untuk mendekati golongan remaja di Nibong Tebal melalui program Santai Anak Muda yang dijalankan selepas solat sunat terawih setiap hari.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian itu Mohd. Norhiesam Ismail berkata, melalui program itu pihaknya dapat berkongsi permasalahan golongan muda dan menyampaikan inspirasi kerajaan.

Menurutnya, Pemuda UMNO turut mengadakan program jelajah terawih di semua surau dah masjid di sekitar kawasan itu termasuk menyampaikan tazkirah serta menjadi imam solat.

"Program ini adalah acara tahunan yang diadakan bagi menunjukkan kehadiran kami di Pemuda UMNO bahagian untuk mendekati golongan muda serta menyampaikan inspirasi kerajaan kepada mereka.

"Sepanjang Ramadan tahun ini kami juga mengadakan program 'touch point' kepada lebih 500 penerima bagi membolehkan mereka menyambut puasa sama seperti orang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau ditemui selepas program Sumbangan Aidilfitri dan Iftar Ramadan di Masjid Kampung Besar di sini yang disempurnakan Timbalan Ketua UMNO bahagian Shafie Kassim.

Pada majlis itu seramai 120 penerima yang terdiri daripada golongan berusia di bawah 40 tahun dan berpendapatan rendah, sakit kronik dan memiliki adaik beradik yang ramai menerima sumbangan barangan keperluan serta wang tunai.

Mohd. Norhiesam menambah, mereka dipilih sendiri oleh kepimpinan UMNO cawangan dan layak untuk dibantu serta jarang menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com