Q'Fish Alternatif Ikan Murah Untuk Rakyat Kedah 23 Jun Ini


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah bakal melancarkan Quality Fish (Q'Fish) dengan menawarkan hingga dua tan ikan rakyat di negeri ini pada Program Ikan Rakyat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 23 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pada hari pelancaran itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kedah (NEKAD) dan LKIM akan menyediakan hingga dua tan ikan pelaling dan kembung kepada orang ramai.

Jelas beliau, bekalan ikan itu akan dijual di Padang Taman Wira Blok A, Mergong, dekat sini; Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang dan Pusat Khidmat ADUN Pedu pada tawaran harga hingga 50 peratus.

"Penjualan ikan ini akan diadakan secara serentak di tiga lokasi bersempena dengan Program Festival Daging Raya Barakah Aidilfitri 2017 ini.

"Kebiasaannya selepas Hari Raya, harga ikan akan melambung tinggi hingga RM20 sekilogram ekoran nelayan tidak turun ke laut.

"Namun pada hari itu nanti, kita mengambil inisiatif dengan menawarkan penjualan ikan pada harga lebih murah sehingga 50 peratus iaitu pada harga RM10 atau lebih rendah lagi," katanya kepada media selepas melawat premis baju Baju For Free (BFF), di sini semalam.

Memetik sumber BH Online, BFF yang mula beroperasi sejak tahun lalu menawarkan pakaian secara percuma kepada golongan memerlukan dan hingga kini sudah lebih lima tan premis baju terbabit menerima pakaian terpakai. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com