Qatar Beli F-15 Buatan AS, Trump Bidas Doha


DOHA - Dasar luar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dipertikaikan selepas beliau meluluskan perjanjian penjualan pesawat pejuang kepada Qatar hanya beberapa hari selepas menuduh Doha sebagai negara penaja keganasan.

Berita penjualan 15 buah pesawat tempur F-15 dihebahkan ketika krisis diplomatik antara Qatar dan negara Teluk termasuk Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu semakin meruncing sejak minggu lalu.

Ia susulan tindakan negara Teluk berkenaan memutuskan hubungan diplomatik dan pengangkutan dengan Qatar atas tuduhan menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan perbalahan serantau.

Di sebalik tuduhan itu, Qatar masih menjadi sekutu kuat Washington di benua Asia Barat memandangkan kira-kira 10,000 askar AS ditempatkan di situ selain menjadi lokasi strategik operasi ketenteraan Pentagon di Syria, Iraq dan Afghanistan.

Penjualan pesawat tempur kepada Qatar bagaimanapun mencetuskan kekeliruan tentang mesej yang disampaikan oleh pentadbiran Trump apabila White House memberi kenyataan berbeza berbanding sayap ketenteraan dan diplomatik kerajaan AS.

Setiausaha Negara, Rex Tillerson menggesa agar langkah perdamaian dilaksanakan dalam krisis negara Teluk itu tetapi kenyataan Trump pada minggu lalu ternyata mengundang kejutan.

Presiden itu menggelar Qatar sebagai penaja keganasan pada tahap tertinggi dan menggesa negara tersebut agar berusaha lebih gigih menentang keganasan.

"Masa telah tiba untuk memastikan Qatar menghentikan sebarang penajaan terhadap fahamam ekstremis.

"Hentikan ajaran membunuh orang lain dan menyebarkan sentimen kebencian," katanya. 

Sumber : NBCNEWS

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com