Pukul Soq Kian Dilupakan

  

TUNJANG - Sepanjang Ramadan ini, masyarakat yang tinggal di bandar pasti tidak pernah mendengar pukulan gendang sebaik tibanya waktu berbuka puasa atau sahur pada malam hari.

Tetapi situasi ini berlainan sekali bagi penduduk Kampung Pulau Timbul, di sini yang mana tradisi pukul soq menggunakan gendang raya masih lagi menjadi amalan di kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Timbul, Azizan Md Sakhok berkata, gendang raya yang mereka gunakan itu diwarisi daripada generasi terdahulu yang kini sudah berusia lebih 100 tahun.

“Pukul soq atau pukul sahur pada bulan puasa bertujuan untuk panggil orang kampung bangun soq (sahur), di mana gendang ini akan dipukul sebanyak dua kali pada waktu tertentu.

“Pukulan pertama iaitu antara jam 12 hingga 12.30 pagi adalah untuk panggil orang kampung bangun masak untuk makan soq, sebelum disusuli pukulan kedua pada jam 2.30 hingga 3.30 pagi untuk panggil orang kampung bangun makan soq,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Pulau Timbul.

Menurutnya, pukul soq ini mempunyai rentak tersendiri iaitu rentak cepat dan perlahan yang mana ia dipukul menggunakan tiga pemukul iaitu anak, ibu (tingkah) dan turut.

“Pemukul ini diperbuat dari dahan kayu jambu batu atau limau purut. Tetapi yang kita guna sekarang ialah kayu limau purut, sebab dia tahan lasak, keras dan susah patah.

“Kalau ikutkan ada banyak lagi rentak dan lagu, tapi kami tak sempat nak belajar habis sebab ramai orang tua-tua dulu yang dah meninggal dunia.

“Zaman dulu, mana ada pembesar suara, jadi guna gendang ni saja kalau nak beritahu apa-apa kejadian pun termasuk kematian dan masuknya waktu solat,” katanya.

Penduduk, Mohd Shukri Fadzil, 55, berkata, kampung berkenaan terletak dalam kawasan sawah padi yang mana rumah penduduk berada dalam jarak yang sangat jauh.

Petanda waktu solat

Menurutnya, apabila gendang dipukul, semua penduduk boleh dengar terutama apabila masuk waktu untuk solat Zohor, Asar dan Maghrib.

"Mereka yang dekat bendang boleh tahu bila waktu solat dah masuk. Zaman dulu, bunyi gendang ini boleh dengar sampai 30 kilometer, sampai kawasan Kampung Pida 3 dan Kampung Pida 5.

"Tapi sekarang gendang ini duduk bawah bumbung dan rendah. Bongkah kayu pun makin pendek, jadi bunyi dah kurang kuat," katanya.

Bagi Mohd Daniel Md Idris, 18, berkata, dia mula berjinak-jinak memukul gendang raya ini sejak berusia 11 tahun lagi.

“Masa mula-mula nak cuba sebab tengok orang tua pukul, rasa seronok, itu yang teringin nak cuba.

“Rentak dia tak susah, kalau dah biasa, senang saja. Tapi katanya, orang tua dulu-dulu lagi banyak rentak, seorang pemukul pegang dua kayu pun boleh,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha JKKK, Saiful Nizam Mahmud, 37, berkata, walaupun zaman sudah canggih sekarang ini, tradisi pukul sok masih dikekalkan di kampung mereka sebagai warisan turun temurun yang harus dipelihara.

Menurutnya, banyak kampung di daerah itu yang masih mempunyai gendang raya tetapi bezanya ada yang masih guna dan ada yang simpan saja.

“Waktu pertama masa jam 12 pagi tu selalu anak-anak muda yang baru belajar main gendang yang pukul, waktu kedua tu baru yang tua-tua pukul.

“Selalu bila dekat nak raya, ramai yang balik kampung, jadi ramai-ramai la pukul dekat masjid, bergilir-gilir sampai pukul 5 pagi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com