'Puasa' 365 Hari Sejak 1958


BULAN puasa hanya datang sekali dalam setahun tetapi tidak bagi kakitangan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yang perlu patuh 'puasa' setiap hari.

Kedengaran pelik tapi itulah hakikat yang dilalui kakitangan MPS sejak tiga tahun lalu.

Tetapi awas jangan keliru, mereka bukanlah menunaikan rukun Islam keempat itu setiap hari.

Sebaliknya, mereka terus patuh kepada individu berkaliber bernama Datuk Puasa Md Talib yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berusia 59 tahun itu bukan sahaja disegani tetapi popular di kalangan kakitangan MPS kerana namanya yang unik.

"Nama itu orang senang nak ingat terutama bulan puasa, mereka yang mengenali saya sudah tentu akan teringat-ingat dekat saya.

"Seingat saya, hanya seorang sahaja individu bernama Puasa yang berkhidmat sebagai PTD di Malaysia, jadi memang nama unik senang orang nak ingat," katanya kepada mStar Online.

Menurut Puasa, ibu bapanya memberikan nama unik itu kepada dirinya kerana beliau dilahirkan pada hari kesembilan di bulan Ramadan.

"Saya pernah tanya kenapa saya diberikan nama Puasa. Ibu saya beritahu sebab saya dilahirkan pada bulan puasa tahun 1958. Saya lahir di Batu Pahat, Johor tapi jarang ada nama Puasa di negeri itu.

"Kebanyakan nama Puasa banyak digunakan di Melaka pada ketika itu. Saya pun bersekolah di Muar yang terletak bersebelahan dengan Melaka, jadi bila pakai nama Puasa orang sudah biasa dengannya," kata bapa tiga anak itu.

Jelas Puasa, hanya beliau sahaja daripada enam adik-beradiknya yang lain diberikan nama unik tersebut.

"Saya seorang sahaja yang namanya agak unik. Adik-beradik lain nama biasa, ada nama Amran, Fauziah, Zaini dan Hishammuddin," katanya.

Walaupun ada kalanya nama tersebut dijadikan bahan gurauan, Puasa bagaimanapun tidak sedikit pun ambil hati mengenainya.

Malah, beliau berkata amat berbangga dan bertuah kerana diberikan nama unik itu yang kini sudah lapuk ditelan zaman.

"Berdasarkan pengalaman saya, kalau tiba bulan puasa macam orang buat 'joke' sikit. Eh saya nak puasalah, eh kita kena berpuasalah. Mula-mula kerja dulu, orang agak keliru tapi dah lama-lama orang kenal.

"Tak pe itu nama saya, saya anggap itu satu kebetulan. Orang takkan jadikan 'joke' lepas mereka kenal saya. Saya cukup bertuah kerana dengan nama itu saya berjaya seperti yang anda lihat hari ini," katanya.

Mengulas mengenai nama Puasa pada zaman moden hari ini, beliau berkata ibu bapa sudah tidak gemarkan nama unik dan klasik itu.

"Nama-nama seperti Aidilfitri, Shawal dan Isnin masih ada tapi nama puasa seolah-olah sudah terhenti. Orang lebih suka panggil Ramadan macam nama anak (Datuk) Misbun Sidek. Dulu-dulu memang ada tapi tiada lagi puasa pada hari ini," katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai wanita yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya iaitu Datin Maimonah Sulaiman, Puasa berkata beliau bersyukur kerana mempunyai isteri yang penyayang.

"Kami berkahwin pada 1983 selepas menyulam cinta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata yang diberi nama Liyana, Mohd Fareed dan Nur Farahin.

Ditanya mengenai nama tiga anaknya, Puasa berkata kesemua mereka diberikan nama yang ringkas.

"Saya suka nama yang ringkas. Anak sulung namanya agak biasa iaitu Liyana, kedua Mohd Fareed dan yang bongsu Nur Farahin. 

"Cuma anak kedua dan ketiga, nama mereka agak istimewa sedikit. Mohd Fareed dan Nur Farahin diambil sempena nama pembaca berita kegemaran saya iaitu Farid Ismet dan Nurfarahin Jamsari," katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com