Polis Trafik Iring MB Kedah Cedera Kemalangan Rempuh Kenderaan Berhenti Tiba-Tiba

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut prihati untuk turun dari kenderaan untuk melihat sendiri keadaan anggota polis trafik yang cedera selepas merempuh bahagian belakang Toyota Fortuner di Lebuh Sentosa, Putrajaya, ketika mengiringi beliau petang semalam.
ALOR SETAR - Seorang anggota polis trafik dilaporkan mengalami cedera parah selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika mengiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Putrajaya, petang semalam.

Memetik laporan BH Online, kejadian jam 5.05 petang itu melaporkan Lans Koperal Jay Morris, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner yang berhenti secara tiba-tiba.

Difahamkan bahawa nahas  berlaku di susur keluar dari arah pusat pentadbiran kerajaan menghala ke Lebuh Sentosa, Putrajaya.

Ketika kejadian tersebut, Ahmad Bashah dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Seri Satria, Putrajaya.

Akibat dari kemalangan itu, anggota polis terbabit mengalami cedera di kepala terutama di bahagian muka, dahi dan mulut, serta dikejarkan ke Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, ketika dihubungi media mengesahkan kejadian itu dan memberitahu anggota terbabit kini dirawat serta dalam keadaannya dilaporkan stabil sebelum dibenarkan keluar jam 10.30 malam semalam.

Kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com