Polis Temui Ketulan Mayat Dalam Tiga Guni Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Polis menemui ketulan mayat seorang lelaki warga Bangladesh dalam tiga guni berasingan di sebuah rumah sewa di Kampung Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani awal pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata penemuan mayat Azad Late Late Mofyan Uddin, 38, itu berikutan aduan teman wanita mangsa yang berumur 31 mengenai kehilangan Azad di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 1 pagi.

"Pada 10 Jun lepas, teman wanita mangsa pergi ke rumah sewa mangsa untuk berjumpa dengannya, tetapi dua rakan serumah mangsa yang juga warga Bangladesh tidak membenarkan wanita tersebut memasuki rumah itu.

"Wanita itu turut melapor dia ternampak kesan cedera pada tangan salah seorang rakan serumah mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini semalam.

Beliau berkata pihak polis yang memasuki rumah itu kemudiannya terhidu bau busuk dan mendapati terdapat kesan air berwarna kehitam-hitaman yang mengalir dari bahagian belakang kabinet batu di ruang dapur rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian bawah kabinet dapur itu menemukan tiga bungkusan guni plastik yang diikat yang mengandungi bahagian badan manusia yang telah dipotong-potong dengan menggunakan senjata tajam," kata Asri.

Beliau berkata kedua-dua rakan serumah Allahyarham yang berumur 37 dan 50 tahun telah menghilangkan diri dan pihak polis sedang mengesan mereka.

Mangsa yang bekerja sebagai buruh kontrak menetap di rumah sewa itu bersama dua rakannya lebih kurang lima bulan lepas.

Motif pembunuhan belum dikenal pasti, katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com