Polis Tembak Mati Dua Anggota Geng Samun Rantau Sitiawan, 'Ari' Dan 'Kenjo'


IPOH - 'Ari' dan 'Kenjo' iaitu dua anggota kumpulan penjenayah warga asing paling dikehendaki, Geng Samun Rantau Sitiawan, ditembak mati oleh polis di kawasan perkampungan Batu 13 Jalan Bidor-Teluk Intan di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam kejadian 2.10 pagi itu, dua suspek dari negara jiran berusia antara 30 dan 40 tahun, ditembak mati selepas melepaskan beberapa das tembakan dan melibas parang ke arah polis.

Katanya, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah D9 Kontinjen Perak yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Bidor dan Hilir Perak terserempak dengan kereta suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Polis cuba tahan kereta Proton Saga BLM, namun kenderaan itu terus memecut laju melalui lorong kampung untuk melarikan diri sebelum terbabas di kiri jalan.

"Ketika pihak polis menghampiri kereta suspek, pemandu kenderaan itu melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis manakala penumpang sebelah kiri pemandu keluar sambil melibas parang pada jarak dekat dengan anggota polis," katanya dalam sidang media di sini Selasa.

Hasnan berkata dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis telah membalas tembakan dan tiada anggota polis yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas dua lelaki yang berasal dari negara jiran itu tidak menjumpai pengenalan diri mereka dan dokumen lain.

"Pemeriksaan di tempat kejadian, polis merampas pelbagai barangan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah antaranya dua pucuk pistol buatan sendiri, peluru hidup dan kelongsong peluru serta parang," katanya sambil menambah kereta yang dinaiki suspek adalah kenderaan curi.

Menurut Hasnan hasil siasatan yang dijalankan mendapati kumpulan itu disyaki aktif melakukan jenayah samun sejak setahun lalu membabitkan empat kes di Kontinjen Perak dan enam kes Kontinjen Pulau Pinang dengan jumlah kerugian kira-kira RM450,000.

"Tiga lagi anggota kumpulan itu telah balik ke negara asal mereka manakala dua lagi telah ditembak mati oleh pihak polis di daerah Muallim pada tahun lepas.

Geng samun warganegara asing ini aktif melakukan jenayah dengan mengikat dan mencederakan mangsa selain menggunakan senjata api untuk melakukan kegiatan samun. Suspek lebih cenderung melakukan samun di kawasan pedalaman, katanya.

Beliau berkata dengan tertangkapnya anggota kumpulan itu, kes samun di Perak berkurangan dan pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah memberi maklumat serta membantu polis sehingga dapat menumpaskan penjenayah yang aktif dan berbahaya itu.

Dalam pada itu, Hasnan menyeru orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena Aidilfitri mengisi borang lawatan polis bagi membolehkan pihaknya melakukan rondaan di kawasan rumah mereka.

"Tahun lepas kami hanya terima 30 borang bagi seluruh Perak. Jadi tahun ini kami nasihatkan orang ramai mengisi borang ini supaya polis dapat melakukan rondaan bagi mengelak jenayah seperti rompakan berlaku," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com