Polis Pulau Pinang Potong Bekalan Elektrik 30 Premis Judi


GEORGE TOWN - Pihak polis mengambil langkah drastik dengan memotong bekalan elektrik di 30 premis perjudian haram dan pusat hiburan keluarga (PHK) kerana menyalah guna lesen hiburan bagi aktiviti berunsur perjudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Zainol Samah berkata sejak 25 Mei lepas hingga semalam, polis melancarkan Ops Dadu Khas bagi membanteras aktiviti perjudian haram dan judi atas talian.

"Sebanyak 10 premis perjudian haram dan PHK yang menyalah guna lesen hiburan dikesan di Seberang Perai Tengah, Timur Laut (lapan), Seberang Perai Utara (lapan), Barat Daya (tiga) dan satu premis di Seberang Perai Selatan telah dikenal pasti," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata sepanjang tempoh yang sama sebanyak 55 serbuan telah dijalankan dan menahan 347 individu termasuk pemain serta penjaga.

Polis juga merampas 147 mesin slot, 140 mesin similator dan dua komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian serta wang tunai sebanyak RM31,133 dalam operasi itu.

"Polis memang mengambil tindakan drastik dan berterusan ke atas aktiviti perjudian haram di Pulau Pinang dan sasaran kami ialah menghapuskan sepenuhnya kegiatan tersebut. Kami juga meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung aktiviti berkenaan kepada polis," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com